Monday, 27 August 2012

Mencari Kedamaian.

Assalamualaikum, Alhamdulillah ana masih lagi diberikan umur untuk mengemaskini blog ini, sudah lama laman ini sunyi, sepi; Sebenarnya ana sedang melalui fasa-fasa juga rona-rona kehidupan. Ramadhan yang lalu ialah 'turning point' dalam bagaimana ana mencorak kanvas hidup ana. Ana ingin berkongsi sebuah ceritera ana "MENCARI KEDAMAIAN"

Penghujung tahun 2010 bermula, ana sememangnya rapat dan gemar bergaul dengan junior ana di sekolah, sebati dalam jiwa ana untuk beroleh ramai rakan, mungkin juga kerana ana ini anak tunggal, jiwa untuk meramaikan saudara sudah terbiasa. Maka telah ditakdirkan ana mengenali satu insan bernama Yusuf, ketika itu dia baru berumur 14 tahun manakala ana sudah pun 18 tahun. Persahabatan kami pun terjalin dikit demi dikit, mulanya sebagai senior dan junior kemudiannya seperti abang dan juga adik.

Yusuf bukanlah seorang remaja yang baik, TIDAK pula jahat, cuma dalam kamus ana 'super nakal'. Sebagaimana jiwa remaja yang lain, mencuba perkara baru adalah wajib, belakangkan kesannya tiada mengira baik mahupun buruk. Dalam arus urbanisasi ini sudah lumrah remaja sekolah akan 'bercouple', Yusuf tiada terkecuali. Ibarat pepatah Melayu, kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Liku-liku dan ranjau mula mengambil alih hikayat gembira.

Usia setahun jagung, Yusuf menjadikan mudah tidak keruan, untuk melepaskan kesedihannya dicubanya benda-benda yang merugikan dirinya, Pergaduhan dengan kekasihnya menjadikan dia hampir saja hilang kewarasan. Dia dicop budak jahat, budaya gangsterisme berakar dalam jiwanya, vandalisme bersemai dihatinya, bergaduh sebati dalam dadanya, Maka tersebarlah alkisah Yusuf Si Budak Jahat.

Tatkala benda ini sedang ligat berlaku, Allah Ta'ala punya racangan-Nya yang tersendiri, Dia menggerakkan hati ana untuk merapati Yusuf. Ketika ini ana juga bukanlah insan yang baik, bahkan mungkin ana lebih banyak dosa daripada Yusuf. Namun percaturan Tuhan Maha Bijaksana, terdetik pada ana untuk menasihati dia, nasihat sebagai abang kepada adiknya. Ana hampiri dia, ana selami jiwanya, ana cuba rasai masalahnya. Ana berhubung dengan kaunselor sekolah dia minta pendapat, diberikan ana tunjuk ajar berdepan dengan remaja sebegini. Ana semakin semangat untuk membantu Yusuf, cuma ana terkilan segelintir cikgu yang dengan mudah putus harapan dan cepat menghukum Yusuf, seolah sekali tergelincir menjadi jahat selamanya menjadi jahat.

Ana merasakan inilah masanya untuk ana buktikan ana boleh mengubah seorang insan lain daripada buruk kepada baik, Sedangkan pada ketika itu ana juga masih belum berubah. Ana kembali mendalami ilmu agama, taubat, redha Allah, dosa, keampunan semuanya sudah dibelek semula oleh ana. Maka masa pun berlalu, bulan demi bulan, telah berubah sedikit demi sedikit Yusuf, sudah kurang namanya disebut  Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Sudah jarang namanya dipanggil Unit Displin. Alhamdulillah, dia sudah berubah. Ana ? Masih juga seperti dahulu. Tiada yang berubah, lagha menghiasi diri.

Hubungan ana dengan Yusuf bertambah erat, hampir setiap perkara kami bincangkan bersama. Susah senang kami bersama. Namun Ramadhan lepas, sekali lagi Allah Jalla Wa'ala menggerakkan hati ana untuk kembali taat kepadanya. Entah mengapa diterbitkan dalam benak fikiran ana inilah masanya untuk berubah, ana telah mampu untuk menasihati insan lain sehingga berubah mengapa tidak diri ana sendiri. Maka ana pun dengan agak kekok memulakan perjalanan ana dalam mencari rahmat keampunan-Nya. Bermulalah ia di Masjid Tuanku Syed Putra.

Ana pasakkan jiwa ana disana, ana beribadat disana, ana renggangkan diri ana dengan ritual biasa ana. Ana giatkan kembali anggota tubuh ana yang dulu hanya gian bersuka ria kepada mengabdikan diri kepada Allah Ta'ala. Mulanya ana rasa berat, ana paksakan jua. Semakin ringan ana rasakan, Ana banyakkan menghadiri kuliah, ana tidur, sahur, berbuka di Masjid Putra, ana mengasingkan diri untuk benar-benar mencari kebahagiaan dalam bersama Allah Jalla Wa'ala. Tanpa disangka-sangka, yang dahulu amat berat telah bertukar ringan, yang dahulunya bosan telah bertukar gembira. Ana kecapi suatu nikmat ketenangan dan kedamaian yang belum pernah ana perolehi dari mana-mana perbuatan lagha yang ana lakukan dahulu.

Ana berdoa dan terus berdoa kepada Maha Pengasih Maha Penyayang untuk terus merahmati ana, melindungi ana, Alhamdullilah Dia tidak pernah sedetik pun berhenti menyayangi ana, dipenuhi segala permintaan ana walaupun ketika ana lupa kepada-Nya, dilimpah ruah rezeki ana tatkala ana langsung tidak bersyukur kepada-Nya, "Ya Rabb, bertapa angkuhnya aku kepada-Mu, Sesungguhnya setiap nafas ini adalah rahmat-Mu kepada aku". 

Alhamdulillah kini ana dan Yusuf telah pun berubah, ana telah pun beroleh kedamaian yang ana cari, yang ana doakan ialah agar ana dan Yusuf terus berada dalam jalan yang diredhai ini, Ana teringatkan firman Allah Ta'ala dalam Surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". Ini lah yang menjadi pendorong kepada ana untuk terus mencari pintu rahmat dan taubat-Nya.

Maka disalah satu malam ketika 10 malam terakhir Ramadhan, ana renungkan kembali perjalanan kisah ana dengan Yusuf, maka menangislah ana, betapa indahnya percaturan Allah Jalla Wa'ala, sekiranya ana tidak bertemu dengan Yusuf maka sekarang ini belum tentu ana akan berubah, Allah Ta'ala kirimkan Yusuf sebagai asbab kepada ana untuk bertaubat, Sesunguhnya tiada pintu yang lebih besar didalam Islam melainkan pintu taubat. Bersyukurlah ana kepada Allah SWT kerana Dia masih memberi ana peluang untuk bertaubat dan menginsafi dosa-dosa ana. Akhirul Kalam, ana petik satu mutiara kata, "Jika dunia ini satu persinggahan, mengapa tidak kita perbanyakkan bekalan, kerana kita hanya punya satu persinggahan", Wallahualam.

*Pesanan kepada Yusuf, "Janganlah bersedih, berdoalah kepada Allah, nescaya Dia akan memakbulkannya, Jika punya masalah mengadulah kepada-Nya nescaya Dia Maha Mendengar lagi Maha Memahami, Jangan lupa bersyukur kepada-Nya kerana hidup ini hanyalah pinjaman semata-mata, Bersabarlah kerana Allah mencintai orang yang bersabar, Jika semua insan berlalu pergi daripada hidup ini, Ingatlah Allah Ta'ala tidak pernah meninggalkan kita, Berbuat baiklah kepada ibubapa, Sesungguhnya keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa, Taatlah kepada Allah Ta'ala maka kita tergolong dalam golongan yang beroleh kemenangan, Ingatlah ketika kita ditimpa ujian dan dugaan, Ingatlah yang bahawasanya Allah tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan hanya mengikut kemampuannya sahaja, pohonlah kepada Dia untuk membantu kita, Insha'Allah Dia akan membantu kita, Yang akhir, terima kasih kerana hadir dalam diri along, jangan anggap acik itu sebagai beban kepada along kerana along tidak pernah berasa begitu, bahkan bersyukur kerana acik hadir dalam hidup along.

No comments:

Post a Comment